Rss Feed
  1. Pembahagian Tauhid Itu Sesat? Bah. 4 (2)

    Saturday, January 18, 2014

    Kaedah Kaedah Sifat:

    Setelah kita mempelajari beberapa kaedah yang berkaitan dengan nama nama Allah ta'ala, maka pada hari ini insyaAllah kita akan lanjutkan dengan beberapa kaedah sifat yang dinisbahkan kepada Allah subhanahu wata'ala.


    Pertama: Sifat sifat Allah, semuanya adalah sifat sifat yang terpuji, mulia lagi sempurna. Tidak ada sama sekali kekurangan ataupun kecacatan padanya. Contohnya seperti 'al-hayaah' (hidup), 'al-'ilm' (ilmu), 'al-qudrah' (kuasa) dan sebagainya. Adapun sifat sifat yang terdapat kekurangan walaupun sedikit, maka tidak bolehlah dinisbahkan kepada Allah ta'ala seperti 'al-jahl' (bodoh), 'al'ajz' (tidak mampu), 'al-'amaa' (buta) dan yang seumpamanya. Kerana Allah itu sempurna maka sifat sifatnya juga haruslah sempurna  Allah ta'ala berfirman:



     وَلَهُ الْمَثَلُ الْأَعْلَى

    Maknanya: Dan bagi-Nyalah sifat sifat yang tinggi.

    Kedua: Penetapan sebuah sifat bagi Allah mestilah berdasarkan dalil baik daripada Al-Quran mahupun As- Sunnah. Tidak boleh menggunakan akal di dalam bab ini kerana sepertimana yang telah lalu pada pembahasan nama, akal kita tidak akan dapat menjangkau nama nama dan sifat sifat yang sempurna yang layak untuk dinisbahkan kepada Allah. Maka tidak ada jalan lain melainkan harus didahului oleh Allah sendiri ataupun Rasul-Nya di dalam penetapan ataupun penafian sesebuah sifat bagi-Nya subhanahu wata'ala.

    Ketiga: Persamaan lafaz di antara sifat sifat Allah dan sifat sifat makhluk tidak bermakna ianya sama dari segi hakikatnya. Seperti sifat 'mendengar' dan 'melihat'. Allah subhanahu wata'ala berfirman: 


    إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

    Maknanya: Sesungguhnya Allah-lah sebaik baik yang memberikan peringatan kepada kamu. Sesungguhnya Allah, Dia Maha mendengar lagi Maha melihat.

    Di dalam ayat ini, Allah menetapkan bagi diri-Nya Yang mulia sifat mendengar dan melihat. Di dalam ayat yang lain pula Allah ta'ala berfirman:


    إِنَّا خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ نُطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَبْتَلِيهِ فَجَعَلْنَاهُ سَمِيعًا بَصِيرًا

    Maknanya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur (iaitu bercampur di antara benih lelaki dan benih perempuan) yang mana kami akan mengujinya, Maka (oleh kerana itu), Kami menjadikan baginya pendengaran dan penglihatan.

    Allah menetapkan juga bagi manusia sifat mendengar dan melihat. Sekarang persoalannya, Bagaimanakah caranya untuk kita memahami kedua nash ini dengan baik sehingga kita tidak terjatuh di dalam fitnah 'tasybih' iaitu menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluk dan tidak terjatuh juga di dalam fitnah 'ta'thil' iaitu menafikan sifat sifat Allah dengan alasan makhluk juga mempunyai sifat yang sama. Bermakna, di dalam kes ini, jika kita tetapkan bagi Allah sifat mendengar dan melihat, kita telah menyamakan Allah dengan makhluk-Nya kerana makhluk juga mendengar dan melihat, oleh kerana itu kita katakan Allah tidak mendengar dan tidak juga melihat. Begitu?

    Cara memahaminya sangat sangat mudah sekali bagi yang Allah subhanahu wata'ala bukakan hatinya untuk memahami. 

    Kita katakan, Allah subhanahu wata'ala berfirman di dalam surah Asy-Syura ayat 11:

    لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

    Maknanya: Tidak ada sesuatu pun yang sama dengan- Nya dan dia Maha mendengar lagi Maha melihat.

    Ayat ini merupakan kaedah asas di dalam memahami Tauhidul Asma Wassifat. Allah mengkhabarkan tentang diri-Nya yang Mulia bahawasanya tidak ada sesuatu makhluk pun yang sama, serupa,  dan yang seperti-Nya subhanahu wata'ala. Dalam masa yang sama, Dia menetapkan bagi Diri-Nya sifat mendengar dan melihat di dalam ayat yang sama. Sedangkan kita dah tahu yang manusia juga mempunyai pendengaran dan penglihatan. Jadi adakah pendengaran dan penglihatan Allah subhanahu wata'ala sama dengan pendengaran dan penglihatan makhluk? Subhanallah ! Tidak ada yang meyakini ini kecuali orang orang yang kebodohannya melebihi binatang ternakan.

    Kembali kepada kaedah ketiga tadi. Persamaan lafaz di antara sifat sifat Allah dan sifat sifat makhluk tidak mengharuskan persamaan dari segi hakikatnya. Allah mendengar dan manusia mendengar, akan tetapi pendengaran Allah subhanahu wata'ala sesuai dengan keagungan dan kebesaran-Nya sedang pendengaran manusia sesuai dengan kelemahannya. Allah melihat dan manusia melihat, akan tetapi penglihatan Allah sesuai dengan keagungan dan kebesaran-Nya sedang penglihatan manusia sesuai dengan kelemahannya. Tidak harus menafikan pendengaran serta penglihatan Allah dan tidak juga terjerumus di dalam fitnah 'tasybih' iaitu menyamakan Allah dengan makhluk-Nya kerana Allah mengkhabarkan kepada kita yang Dia subhanahu wata'ala mempunyai pendengaran dan penglihatan akan tetapi Dia tidak mengkhabarkan kepada kita bagaimana sifat mendengar dan sifat melihat-Nya tersebut.

    Sangat mudah bukan?

    Baiklah, contoh lain; Allah ta'ala mengkhabarkan kepada kita bahawasanya Dia subhanahu wata'ala mempunyai 'dua tangan'. Dalilnya firman Allah:

    قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا مَنَعَكَ أَنْ تَسْجُدَ لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ أَسْتَكْبَرْتَ أَمْ كُنْتَ مِنَ الْعَالِينَ

    Maknanya: Dia (Allah subhanahu wata'ala) berfirman: "Wahai Iblis, apakah yang menghalangi engkau untuk sujud kepada yang telah Aku ciptakan dengan kedua tangan-Ku? Adakah engkau menyombongkan diri ataukah engkau (merasakan yang diri engkau) lebih tinggi? 

    Dan firman Allah ta'ala:

     وَقَالَتِ الْيَهُودُ يَدُ اللَّهِ مَغْلُولَةٌ غُلَّتْ أَيْدِيهِمْ وَلُعِنُوا بِمَا قَالُوا بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ يُنْفِقُ كَيْفَ يَشَاءُ

    Maknanya: Dan orang orang yahudi itu berkata: "Tangan Allah itu terbelenggu" Tangan merekalah yang (sebenarnya) dibelenggu dan mereka dilaknat atas apa yang mereka katakan. Bahkan kedua tangan-Nya itu terbuka luas, Dia memberikan rezeki sebagaimana yang Dia kehendaki.

    Cara memahaminya juga sama seperti contoh yang pertama tadi. Persamaan lafaz di antara sifat sifat Allah dan sifat sifat makhluk tidak melazimkan persamaan dari segi hakikatnya. Bermakna di dalam contoh ini, Allah mengkhabarkan yang Dia mempunyai dua tangan sedangkan kita juga mempunyai dua tangan. 

    "Persamaan lafaz di antara sifat sifat Allah dan sifat sifat makhluk tidak melazimkan persamaannya dari segi hakikat ."

    Jadi, kedua tangan Allah adalah sesuai dengan kebesaran, keindahan dan keagugan-Nya, kerana Allah khabarkan yang Dia mempunyai kedua tangan dan Dia tidak mengkhabarkan pula bagaimana rupa bentuk tangannya. Jadi, bagaimana bentuk tangan-Nya atau dinamakan sebagai hakikat tangan-Nya tersebut kita serahkan kembali kepada Allah tanpa harus menafikannya atau mentakwilnya dengan makna lain atau menyamakannya dengan makhluk. Sedang kedua tangan makhluk adalah sesuai dengan kelemahannya.

    Ada masalah dengan fakta ini? Tidak ada insyaAllah bagi yang Allah bukakan hatinya untuk memahami.

    Sebenarnya masih banyak kaedah kaedah sifat yang perlu disebutkan yang akan datang pada artikel artikel yang seterusnya, InsyaAllah. Akan tetapi, apa yang telah disebutkan di sini insyaAllah cukup untuk membuka sedikit minda sebahagian pihak yang berpandangan golongan yang menetapkan semua sifat yang telah ditetapkan oleh Allah bagi diri-Nya di dalam Al-Quran atau yang telah ditetapkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bagi Allah subhanahu wata'ala di dalam hadith hadith baginda yang Sahih adalah golongan Wahhabi yang sesat atau yang lebih parah lagi gelaran 'musyabbihah' (iaitu golongan yang menyamakan Allah dengan makhluknya) Na'udzu billah..

    Selesai sudah sedikit pembahasan berkenaan dengan tauhid dan pembahagian pembahagiannya. Setelah ini, bagi yang masih mengatakan bahawasanya pembahagian tauhid itu sesat, kafir dan sebagainya, Kita katakan, "Kasihanilah diri kamu dan kajilah Al-Quran dan As- Sunnah betul betul berdasarkan pemahaman Salaf, bukan pemahaman kamu"

    Walhamdulillahi Rabbil 'Alameen.
    |


  2. Pada bahagian akhir di dalam pembahasan mengenai tauhid ini, insyaAllah kita akan membahas satu lagi pembahagian iaitu Tauhidul Asma' Wassifat. Banyak golongan baik kelompok mahupun individu tidak memahami bab ini dengan baik. Oleh kerana itu kita dapati sebahagian besar daripada mereka memusuhi sebahagian yang lain dengan alasan mereka menyamakan Allah dengan makluknya, mereka mengatakan Allah mempunyai tangan dan yang seumpama dengannya.

    Jadi, sekarang mari kita baca dengan teliti dan perlahan. Mudah mudahan Allah membuka hati yang membacanya untuk dapat memahami dengan baik, insyaAllah.

    Tauhidul Asma Wassifat.

    Makna tauhid ini adalah kita mengesakan Allah di dalam nama nama dan sifat sifat Allah subhanahu wata'ala dengan kita menetapkan nama dan sifat yang telah ditetapkan oleh Allah ataupun Rasul-Nya dengan penetapan yang sesuai dengan kebesaran serta keagungan Allah ta'ala tanpa harus men'tahrif', men'ta'thil', men'takyiif'', dan men'tamtsil' nama nama dan sifat sifat tersebut. (Akan datang lanjutan artikel ini yang akan membahas tentang istilah istilah ini, insyaAllah)

    Allah ta'ala berfirman:
    وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

    Maknanya: Dan bagi Allah lah nama nama dan sifat sifat yang baik maka berdoalah kepada-Nya dengannya (iaitu dengan menyebut nama nama dan sifat sifat-Nya) dan biarkanlah orang orang yang menyimpang dalam (memahami) nama nama-Nya. Mereka akan dibalas terhadap apa yang telah mereka lakukan.

    Dan Allah ta'ala berfirman juga: 

    وَلَهُ الْمَثَلُ الْأَعْلَى فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

    Maknanya: Dan bagi-Nyalah sifat sifat yang tinggi di langit dan di bumi sedang Dialah Al-'Aziz (Yang Maha Agung) lagi Al-Hakeem (Yang Maha Hikmah).

    Dua ayat di atas menunjukkan yang Allah subhanahu wata'ala iaitu yang kita sembah hari hari siang malam juga mempunyai nama nama dan sifat sifat yang telah pun dikhabarkan kepada kita baik melalui Al-Quran mahupun melalui Hadith hadith Nabi sallallahu 'alaihi wasallam yang sahih.

    Sekarang persoalannya adalah bagaimana caranya untuk kita memahami nama dan sifat Allah ini dengan baik? Kerana kalau kita perhatikan di dalam Al-Quran dan Hadith hadith Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, Allah menyebutkan yang Dia subhanahu wata'ala bersifat dengan sifat 'tangan'. Rasulullah sendiri menyebutkan yang Allah bersifat dengan sifat 'ketawa', 'turun', 'tinggi di atas langit', 'marah', 'cinta' dan sebagainya. Anda boleh buka Al-Quran dan kitab kitab hadith yang muktabar masing masing untuk melihat kebenarannya.

    Kembali kepada tajuk, bagaimana caranya untuk kita memahami bab ini dengan baik agar kita tidak tergolong di antara mereka mereka yang terpesong di dalam memahaminya?. Caranya sangat mudah sekali iaitu dengan kita memahami beberapa kaedah Asma' (iaitu nama) dan beberapa kaedah Sifat yang dinisbahkan kepada Allah subhanahu wata'ala.

    Kaedah Kaedah Nama:

    Pertama: Nama nama Allah semuanya adalah yang terbaik lagi terindah. Dalilnya ayat yang telah disebutkan di atas.

    Kedua: Nama nama Allah tidak terbatas dengan angka tertentu. Tidak 99, tidak juga selainnya. Adapun hadith yang sahih yang mana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya Allah mempunyai 99 nama. Barangsiapa yang menghitungnya , dia akan masuk syurga" maka ia tidak memberi faedah pembatasan iaitu, hadith ini tidaklah menunjukkan bahawasanya nama nama Allah hanya terbatas pada 99 nama sahaja. Bahkan sepertimana yang kita katakan tadi, nama Allah tidak terbatas dengan angka tertentu berdalilkan dengan hadith yang sahih daripada Abdullah bin Mas'ud radhiallahu 'anhu yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan lainnya bahawasanya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam berdoa dengan: 

              أسألك اللهم بكل اسم هو لك، سميت به نفسك، أو أنزلته في كتابك، أو علمته أحداً من خلقك، أو استأثرت به في علم الغيب عندك

    Maknanya: Aku meminta kepada-Mu Ya Allah dengan semua nama milik-Mu, yang Engkau 
    menamakan diri-Mu dengannya, atau yang Engkau turunkannya di dalam Kitab-Mu atau yang Engkau ajarkannya kepada salah seorang daripada hamba hamba-Mu atau yang Engkau simpannya di dalam ilmu ghaib di sisi-Mu.

    Perkataan Rasululullah sallallahu 'alaihi wasallam "... atau yang Engkau simpannya di dalam ilmu ghaib di sisi-Mu" adalah petunjuk yang menunjukkan bahawasanya kita tidak mengetahui akan bilangan nama nama Allah. Apa yang sampai kepada kita, itulah yang kita tahu walhamdulillah.

    Ketiga: Nama nama Allah tidak ditetapkan dengan akal akan tetapi ia ditetapkan dengan syara' iaitu Al-Quran ataupun As-Sunnah. Dan itu adalah kerana akal manusia tidak akan dapat menjangkau nama nama yang baik lagi indah bagi Allah. Tidak ada yang tahu kecuali Allah sendiri subhanahu wata'ala. Maka oleh sebab itu, wajib bagi kita untuk berhenti pada nash. Juga, kerana memberikan sebuah nama kepada Allah yang mana nama tersebut tidak diberikan oleh Allah buat diri-Nya adalah merupakan sebuah jenayah terhadap hak Allah subhanahu wata'ala. Begitu juga dengan menafikan sebuah nama yang mana nama tersebut telah ditetapkan oleh Allah sendiri. Pun merupakan jenayah terhadap hak Allah.

    Keempat: Setiap nama nama Allah, ia menunjukkan kepada Dzat Allah itu sendiri dan juga menunjukkan kepada sifat yang terkandung di dalam nama tersebut dan juga menunjukkan kepada kesan yang akan berlaku sekiranya nama tersebut memerlukan kepada objek. InsyaAllah akan lebih jelas dengan contoh berikut ini.

    Contoh 1: Nama Allah Al-'Azhim (Yang Maha Besar); Kita tidak dikatakan beriman dengan nama ini sehinggalah kita yakin bahawasanya "Al-'Azhim" merupakan salah satu di antara nama nama Allah yang menunjukkan kepada Dzat Allah dan menunjukkan kepada sifat yang terkandung di dalam nama tersebut. Untuk contoh ini, sifat yang terkandung di dalamnya adalah sifat 'kebesaran'.

    Contoh 2: Nama Allah Ar-Rahman (Yang Maha Pembelas kasihan); Kita tidak dikatakan beriman dengan nama ini sehinggalah kita yakin bahawasanya "Ar-Rahman" merupakan salah satu di antara nama nama Allah yang menunjukkan kepada Dzat Allah dan menunjukkan kepada sifat yang terkandung di dalam nama tersebut. Untuk contoh ini, sifat yang terkandung di dalamnya adalah sifat 'belas kasihan' dan juga terhadap kesan yang berlaku di sebalik nama dan sifat ini. Untuk contoh ini, kesan yang berlaku di sebalik nama ini adalah Allah subhanahu wata'ala membelas kasihani setiap hamba-hamba-Nya.

    Dan perbezaan di antara contoh 1 dan contoh 2 adalah, nama Allah di dalam contoh 1 tidak memerlukan kepada objek sedang nama Allah pada contoh 2 memerlukan kepada objek. 

    Selesai beberapa kaedah nama.

    Bersambung...

    PERHATIAN: Bagi yang mempunyai masalah untuk memahami penerangan ini bolehlah emailkan permasalahan anda kepada wann.shahir@gmail.com. Jangan biarkan anda diselubungi oleh kekeliruan atau kesalah fahaman dalam memahami bab ini. InsyaAllah.
    |


  3. Pembahagian Tauhid Itu Sesat? Bah. 3

    Tuesday, December 3, 2013

    Adapun beriman dengan keuluhiyahan Allah ta'ala maka adalah dengan kita meyakini bahawasanya tidak ada sesembahan yang berhak disembah melainkan Allah, tidak ada sekutu baginya.

    Jadi, setelah kita yakin bahawasanya tidak ada di sana yang menciptakan, yang menghidup dan mematikan, yang memberikan rezeki serta yang mengatur alam semesta ini kecuali Allah subhanahu wata'ala, maka konsekuensinya adalah kita juga haruslah menyerahkan segala peribadahan kita kepada-Nya. Dan barangsiapa yang mengaku mentauhidkan Allah lalu dia menyerahkan peribadahannya atau sedikit daripada ibadahnya kepada selain Allah, walaupun kepada malaikat ataupun nabi sekalipun, maka dia tidaklah jujur dalam pengakuannya tersebut sedang peribadahannya kepada Allah serta merta akan terbatal.

    Kaum musyrikin Quraisy di zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mereka tidak mengingkari sama sekali akan kerububiyahan Allah ta'ala bahkan mereka mengakuinya sebagaimana yang Allah nyatakan di dalam Al-Quran dan ianya telah dinukilkan di dalam artikel yang sebelum ini. Akan tetapi sayangnya, pengakuan mereka terhadap rububiyah Allah itu sahaja tidaklah dapat menyelamatkan nyawa mereka serta harta dan maruah mereka daripada diperangi kerana mereka masih lagi dilabelkan sebagai kaum musyrikin iaitu kaum yang melakukan syirik kepada Allah. Dari sini jelaslah bagi kita akan besarnya dosa syirik kepada Allah ta'ala.

    Allah ta'ala berfirman:

    إن الله لا يغفر أن يشرك به ويغفر ما دون ذلك لمن يشاء ومن يشرك بالله فقد افترى إثما عظيما

    Maknanya: Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik kepadanya sedang Dia mengampuni apa yang dibawahnya (syirik) kepada siapa yang dikehendakinya. Dan barangsiapa yang mensyirikkan Allah maka sungguh dia telah mengadakan dosa yang besar.

    Dan Allah ta'ala telah membatalkan hujjah-hujjah kaum musyrikin yang menjadikan tuhan tuhan mereka sebagai sesembahan yang diserahkan kepadanya peribadahan dengan dua perkara yang dapat difahami dengan akal.

    1. Tuhan tuhan yang mereka jadikannya sebagai sesembahan tersebut tidaklah mempunyai ciri ciri yang berhak untuk mendapatkan peribadahan. Kerana mereka juga diciptakan sedang mereka sendiri tidak dapat menciptakan. Mereka tidak dapat menghilangkan sebarang kemudharatan yang menimpa penyembahnya sebagaimana mereka juga tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat yang diminta oleh penyembahnya. Mereka juga tidak mampu untuk menghidupkan dan mematikan.

    Allah berfirman:

    واتخذوا من دونه آلهة لا يخلقون شيئا وهم يخلقون ولا يملكون لأنفسهم ضرا ولا نفعا ولا يملكون موتا ولا حياة ولا نشورا

    Maknanya: Dan mereka (iaitu kaum musyrikin) mengambil sesuatu selain Allah sebagai sesembahan, yang mana mereka (sesembahan sesembahan tersebut) tidak dapat menciptakan sesuatu sedangkan mereka sendiri diciptakan. Dan mereka tidak mampu untuk mendatangkan apa apa kemudharatan ataupun apa apa manfaat buat diri mereka sendiri. Dan mereka tidak mampu untuk mematikan, menghidupkan serta membangkitkan ( makhluk pada hari pembalasan nanti).

    Dan Allah berfirman:

    أيشركون ما لا يخلق شيئا وهم يخلقون. ولا يستطيعون لهم نصرا ولا أنفسهم ينصرون

    Maknanya: Adakah mereka mensyirikkan (Allah) dengan sesuatu yang tidak dapat menciptakan sesuatu sedang mereka sendiri diciptakan? Dan mereka tidak mampu untuk membantu mereka (iaitu para penyembahnya) sedang mereka juga tidak mampu untuk membantu diri mereka sendiri.

    Sekiranya beginilah keadaan tuhan tuhan itu, maka mengambil mereka sebagai sesembahan adalah suatu yang paling bodoh dan yang paling bathil.

    2. Kaum musyrikin, mereka mengakui akan kerububiyahan Allah ta'ala sebagaimana yang telah kita bahaskan sebelum ini. Dan ini melazimkan mereka untuk beriman juga dengan keuluhiyahan Allah iaitu mengesakan Allah di dalam perkara yang berkaitan dengan ibadah seperti berdoa, meminta pertolongan, menyerahkan sembelihan, bernadzar dan lain lain yang insyaAllah akan dibahas pada waktunya, sebagaimana mereka mengesakan Allah di dalam perkara yang berkaitan dengan perbuatan perbuatan Allah seperti menciptakan, menghidupkan, mematikan dan yang semakna dengannya.

    Allah ta'ala berfirman:

    يا أيها الناس اعبدوا ربكم الذي خلقكم والذين من قبلكم لعلكم تتقون. الذي جعل لكم الأرض فراشا والسماء بناء وأنزل من السماء ماء فأخرج به من الثمرات رزقا لكم فلا تجعلوا لله أندادا وأنتم تعلمون

    Maknanya: Wahai sekalian manusia, sembahlah Rabb kamu yang telah mencipakan kamu serta yang sebelum kamu supaya kamu (menjadi orang orang yang bertakwa). Dialah yang menjadikan bagi kamu bumi ini sebagai hamparan dan langit sebagai bangunan dan Dia menurunkan air daripada langit lalu dikeluarkan bermacam jenis buah buahan dengan air itu sebagai rezeki untuk kamu. Maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah sebarang sekutu padahal kamu semua mengetahui (yang Allah itu maha esa).

    Perhatikan larangan Allah pada akhir ayat ini. Wallahu a'lam.

    Bersambung...
    |


  4. Pembahagian Tauhid Itu Sesat? Bah. 2

    Wednesday, November 13, 2013

    Adapun beriman kepada kerububiyahan Allah, maka dengan kita meyakini bahawasanya Allah sematalah Rabb yang memiliki segala penciptaan, pemilikan dan segala urusan. Tidak ada yang menciptakan kecuali Dia. Tidak ada yang memiliki segala sesuatu kecuali Dia. Dan tidak ada yang boleh mengembalikan segala urusan kecuali kepada-Nya. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Allah ta'ala berfirman:
    ألا له الخلق والأمر

    Maknanya: Ketahuilah, mencipta dan memerintah itu hanyalah milik-Nya.

    Dan tidak pernah diketahui di dalam sejarah manusia, seorang pun yang mengingkari rububiyah Allah ta'ala kecuali mereka yang mengingkarinya disebabkan oleh kesombongan dan keegoan. Bukan dengan keyakinan. Sebagai contoh, Fir'aun. Fir'aun secara terang-terangan telah menyatakan kepada kaumnya "Aku adalah Rabb kamu yang maha tinggi" sebagaimana yang Allah sebutkan di dalam surah An-Naazi'at ayat 24. Dia juga mengatakan kepada pembesar pembesar kaumnya "Aku tidak mengetahui sesembahan bagi kalian selain aku" sebagaimana yang Allah sebutkan di dalam surah Al-Qasas ayat 38. Akan tetapi, perkataan itu keluar daripadanya disebabkan kesombongan yang sangat melampau yang berada di dalam dirinya serta keegoannya. Bukannya dia meyakini bahawasanya dialah yang menciptakan alam semesta ini, bukan dia meyakini bahawasanya dialah yang memiliki segala sesuatu serta memberikan rezeki kepada segala sesuatu. Apakah bukti yang menunjukkan yang dia tidak meyakini sedimikan rupa?

    Allah ta'ala berfirman tentang Fir'aun dan para pembesarnya:
    وجحدوا بها واستيقنتها أنفسهم ظلما وعلوا

    Maknanya: Dan mereka mengingkarinya disebabkan kezaliman dan kesombongan (yang ada pada mereka) sedangkan mereka meyakini (akan kebenaran) nya.

    Allah ta'ala berfirman juga menceritakan tentang apa yang dikatakan oleh Nabi Musa 'alaihissalam kepada Fir'aun:
    لقد علمت ما أنزل هؤلاء إلا رب السموات والأرض

    Maknanya: Sesungguhnya kamu telah mengetahui (wahai Fir'aun), bahawasanya tidaklah yang menurunkannya (ayat ayat tersebut) kecuali Yang Memiliki langit dan bumi ini

    Dan itu tidak dibangkang atau dinafikan oleh Fir'aun. Juga perhatikan keadaan Fir'aun ketika dia di dalam keadaan sakratul maut. Allah telah menyebutkan tentang itu di dalam surah Yunus ayat 90:


    وجاوزنا ببني إسرائيل البحر فأتبعهم فرعون وجنوده بغيا وعدوا حتى إذا أدركه الغرق قال آمنت أنه لا إله إلا الذي آمنت به بنو إسرائيل وأنا من المسلمين

    Maknanya: Dan Kami membiarkan bani Israil melalui lautan itu. Sedang Fir'aun dan bala tenteranya mengikuti mereka disebabkan kezaliman (yang mereka ingin lakukan) serta permusuhan (mereka terhadap Musa dan bani Israil). Sehinggalah ketika tenggelam hampir mendapatkannya, maka dia pun mengatakan "Aku beriman bahawasanya tidak ada sesembahan kecuali yang bani Israil beriman dengan-Nya sedang aku termasuk di kalangan orang orang yang berserah diri".

    Akan tetapi, keimanannya pada waktu itu tidaklah dapat memberikan sebarang manfaat pun kepadanya sebagaimana yang Allah jelaskan di dalam ayat yang setelahnya.

    Oleh kerana itu, para musyrikin Quraisy pada zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mereka mengakui akan kerububiyahan Allah ta'ala. Allah berfirman:

    ولئن سألتهم من خلق السماوات والأرض ليقولن خلقهن العزيز العليم

    Maknanya: Dan sungguh sekiranya kamu (wahai Muhammad) menanyakan kepada mereka siapakah yang menciptakan langit dan bumi ini, maka sungguh mereka akan mengatakan yang menciptakannya adalah yang Maha Kuat lagi Maha Mengetahui.

    Allah berfirman lagi:
     ولئن سألتهم من خلقهم ليقولن الله فأنى يؤفكون

    Maknanya: Dan sungguh sekiranya menanyakan kepada mereka siapakah yang menciptakan mereka, maka sungguh mereka akan mengatakan Allah (yang menciptakan kami). Maka bagaimana mereka boleh dipalingkan (daripada  beribadah hanya kepada Allah dan mengikhlashkannya hanya kepada Nya) ?

    Akan tetapi, itu tidaklah bermanfaat bagi mereka, kerana mereka tidak beriman dengan keuluhiyahan Allah ta'ala.


    Bersambung...
    |


  5. Pembahagian Tauhid Itu Sesat? Bah. 1

    Friday, November 8, 2013

    Pada suatu hari, datanglah seorang lelaki yang agak pelik penampilannya kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ketika baginda sedang berduduk duduk bersama para sahabatnya. Lelaki pelik itu pun kemudiannya, menanyakan beberapa soalan kepada Baginda. Dan di antara soalan soalan yang ditanyakan adalah:

    أخبرني عن الإيمان

    Maknanya: Beritahukanlah aku tentang (apa itu) iman.

    Maka Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam pun berkata:

     الإيمان أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر وتؤمن بالقدر خيره وشره

    Maknanya: Iman itu adalah dengan kamu beriman kepada Allah, Malaikat Malaikat-Nya, Kitab-Kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya dan kepada Hari Akhir. Serta kamu beriman kepada taqdir Allah, baik yang baiknya (iaitu yang kamu suka) mahupun yang buruknya (iaitu yang kamu tidak suka).

    Adapun definisi iman dari segi bahasa, ia adalah membenarkan. Manakala dari segi istilah pula, ia adalah "keyakinan, pengucapan dan perbuatan, semua ini termasuk di dalam kata nama IMAN. Ia juga boleh meningkat disebabkan ketaatan dan boleh juga menurun disebabkan kemaksiatan"

    Contoh keyakinan adalah dengan kita meyakini akan wujudnya Allah subhanahu wata'ala sedang kita tidak pernah melihat Dia. Contoh pengucapan adalah dengan kita mengucapkan zikir zikir yang baik seperti 'la ilaha illallah', 'astaghfirullah', 'subhanallah' dan sebagainya. Dan contoh perbuatan adalah dengan kita menolong orang yang berada di dalam kesusahan.
    Intinya, keyakinan adalah dengan hati, pengucapan adalah dengan lisan sedang perbuatan adalah dengan anggota badan. Sangat simple.

    Baiklah, adapun fokus kita di dalam artikel kali ini adalah berkenaan dengan "beriman kepada Allah". 
    Ketahuilah bahawasanya beriman kepada Allah ta'ala mencangkupi empat perkara penting, iaitu:
    1. Beriman kepada kewujudan Allah.
    2. Beriman kepada kerububiyahan Allah; iaitu dengan kita beriman bahawasanya tidak ada Rabb yang menciptakan, yang memiliki segala sesuatu, yang memberikan rezeki kepada sekian makhluk, dan yang mentadbir alam semesta ini kecuali Allah ta'ala semata.
    3. Beriman kepada keuluhiyahan Allah; iaitu dengan kita beriman bahawasanya tidak ada sesembahan yang berhak disembah melainkan Allah.
    4. Beriman dengan Nama-Nama dan Sifat Sifat Allah ta'ala; iaitu dengan kita menetapkan bagi Allah nama nama dan sifat sifat yang Allah sendiri telah tetapkan bagi dirinya ataupun yang ditetapkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
    PERINCIAN:

    Adapun beriman kepada kewujudan Allah, maka dapat kita bahagikan bukti bukti yang menunjukkan tentang itu kepada beberapa poin:

    1. Bukti dengan menggunakan fitrah: Dan ini adalah kerana setiap makhluk telah pun difitrahkan di dalam diri mereka dengan iman kepada pencipta mereka tanpa harus difikirkan atau diajar terlebih dahulu. Dan tidaklah ada yang keluar daripada fitrah ini kecuali mereka mereka yang ada penyakit di dalam hati, yang menyebabkan mereka memalingkan diri daripada fitrah ini. Dan ini berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:


    كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه كمثل البهيمة تنتج البهيمة هل ترى فيها جدعاء

    Maknanya: Setiap yang dilahirkan itu, mereka dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua orang tuanya lah yang menjadikan dia yahudi atau menjadikan dia nasrani atau menjadikan dia majusi. Seperti juga binatang ternak yang melahirkan anaknya (dengan lengkap).adakah kamu melihat sesuatu yang cacat padanya? HR Bukhari

    2. Bukti dengan menggunakan akal: Ini adalah kerana setiap makhluk yang ada di atas muka bumi ini baik yang telah lalu mahupun yang akan datang, pastinya ada yang menciptakannya. Kerana makhluk makhluk tersebut tidak mungkin bagi mereka untuk mencipta diri mereka sendiri dan tidak mungkin juga untuk mereka dijadikan secara tiba tiba, tanpa ada yang menciptakannya.

    Baiklah, mari kita perhatikan contoh berikut ini yang insyaAllah akan memudahkan pemahaman;

    Sekiranya ada yang datang kepada anda lalu menceritakan tentang sebuah istana yang amat megah, dikelilingi oleh taman taman yang indah, yang terdapat sungai sungai yang jernih mengalir di bawahnya, juga terdapat berbagai hiasan di dinding dan lantainya. Lalu dia mengatakan kepada anda bahawasanya keindahan yang ada ini telah menciptakan dirinya sendiri atau keindahan keindahan ini semuanya tercipta dengan sendirinya secara tiba-tiba, tidak ada yang menciptakannya tentulah secara langsung anda akan mengingkarinya dan anda pastinya akan menganggap pembicara itu adalah seorang yang gila kerana ia adalah suatu yang mustahil.
    Lalu bagaimana dengan langit dan bumi serta segala yang berada di dalamnya?

    3. Bukti dengan menggunakan syara': Setiap kitab kitab yang diturunkan Allah kepada para utusannya, semuanya menjelaskan tentang itu. Setiap hukum hakam yang terdapat di dalam kitab kitab tersebut yang pastinya terdapat kebaikan kepada kita menunjukkan yang di sana adanya Rabb yang Maha mengetahui akan keperluan hamba-hambanya. Dan setiap khabar berkenaan dengan alam semesta ini yang mana penglihatan kita menjadi saksi akan kebenarannya menunjukkan yang di sana ada Rabb yang Maha berkuasa atas segala sesuatu. 

    Bersambung...
    |


  6. Tunduk Kepada Hukum Allah.

    Saturday, October 26, 2013

    "Kenapa semua tak boleh?? Ini tak boleh, itu tak boleh, ini haram, itu haram??!"

    Kata kata di atas dinukil daripada manusia manusia yang tidak bertanggungjawab yang tidak mahu tunduk akan ketetapan Allah. Boleh jadi ianya disebabkan kejahilan dan boleh jadi juga ianya disebabkan 'kekerasan kepala'.

    Tidak tahukah kita akan kewajipan setiap yang mengaku muslim untuk sentiasa tunduk kepada Rabb yang menciptakan dan memberikan rezeki kepada kita iaitu Allah?

    Allah ta'ala berfirman di dalam Al-Quran:

    فلا وربك لا يؤمنون حتى يحكموك فيما شجر بينهم ثم لا يجدوا في أنفسهم حرجا مما قضيت ويسلموا تسليما

    Maknanya: Maka demi Rabb-mu (Wahai Muhammad) mereka tidak beriman sampai mereka menjadikan kamu hakim di dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan di dalam diri mereka akan apa yang telah kamu tetapkan sedang mereka berserah diri dengan sepenuhnya.

    Perhatikan "kemudian mereka tidak merasa keberatan di dalam diri mereka akan apa yang telah kamu tetapkan"
    Dan perhatikan juga "sedang mereka berserah diri dengan sepenuhnya"

    Inilah yang wajib kita lakukan apabila berhadapan dengan ketetapan Allah. Berserah diri serta redha akan ketentuan tersebut. Bukannya melenting tak tentu pasal, memarahi ataupun memaki baik kepada ketetapan tersebut mahupun kepada individu yang menyampaikannya. Banyak yang tidak tahu akan bahayanya perbuatan yang demikian. Lebih mengejutkan apabila ianya keluar daripada orang orang yang telah mempunyai ilmu tentang ini dan bahkan sebahagian mereka telahpun terjun ke masyarakat sebagai PENDAKWAH.

    Allah ta'ala berfirman:

    وما كان لمؤمن ولا مؤمنة إذا قضى الله ورسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم ومن يعص الله ورسوله فقد ضل ضلالا مبينا

    Maknanya: Dan tidaklah patut bagi seorang lelaki yang mukmin ataupun bagi perempuan yang mu'minah, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu perkara, mereka mempunyai pilihan yang lain akan urusan mereka tersebut. Dan barangsiapa yang melakukan ma'siat kepada Allah, sungguh dia telah tersesat dengan kesesatan yang nyata.

    Apa maksud "mereka mempunyai pilihan yang lain akan urusan mereka tersebut"?

    Maksudnya: Apabila terdapat hukum Allah di dalam sesebuah masalah, maka tidak boleh bagi sesiapapun untuk membuat pilihan lain selain yang telah ditetapkan oleh Allah ataupun Rasul-Nya tersebut. Dan itu bukanlah di antara sifat sifat orang orang yang beriman maka konsekuensinya, ia adalah sifat yang belawanan dengan keimanan. Na'udzu billah.

    Allah ta'ala berfirman lagi: 

    إنما كان قول المؤمنين إذا دعوا إلى الله ورسوله ليحكم بينهم أن يقولوا سمعنا وأطعنا وأولئك هم المفلحون

    Maknanya: Sesungguhnya, perkataan yang diucapkan oleh orang orang yang beriman apabila mereka diajak kepada Allah dan Rasul-Nya untuk menghukumi di antara mereka adalah "kami dengar dan kami ta'at". Dan merekalah orang-orang yang mendapatkan kejayaan.

    Di dalam surah yang lain Allah ta'ala berfirman:

    ذلك بأنهم كرهوا ما أنزل الله فأحبط أعمالهم

    Maknanya: Itu adalah disebabkan mereka tidak suka akan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka Dia menghapuskan segala amalan mereka.


    Jadi, hendaklah kita semua berhati hati setelah ini daripada termasuk di antara golongan yang membenci akan apa yang telah diturunkan oleh Allah, baik secara keseluruhan ataupun secara sebahagian agar amalan kita tidak terhapuskan.

    Kesimpulannya; Melakukan kemungkaran dalam keadaan kita tahu bahawasanya ia adalah mungkar jauh lebih baik daripada kita membolehkan kemungkaran atau mencari dalil dalil yang umum atau yang 'tak masuk' untuk membenarkan kemungkaran tersebut.

    Wallahu a'lam.
    |


  7. Siapa Mahu Jadi Perdana Menteri?

    Thursday, October 24, 2013

    Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, daripada 'Abdurrahman bin Samurah radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

     قال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم: يا عبد الرحمن بن سمرة لا تسأل الإمارة فإنك إن أعطيتها عن غير مسألة أعنت 
    عليها وإن أعطيتها عن مسألة وكلت إليها

    Maknanya: Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam berkata kepadaku: Wahai 'Abdurrahman bin Samurah, Janganlah kamu meminta jawatan kerana sesungguhnya, jika kamu diberikan jawatan tanpa kamu memintanya maka kamu akan dibantu ke atasnya (oleh Allah ta'ala dalam menyelesaikan urusan urusan yang berkaitan dengannya). Dan sekiranya kamu diberikan jawatan tersebut dengan kamu memintanya maka kamu akan diserahkan kepada dirimu sendiri (iaitu tidak akan dibantu bahkan diserahkan urusannya kepadanya untuk diselesaikan sendiri).

    Di dalam hadith ini dapat kita fahami akan larangan bagi seseorang untuk meminta jawatan bagi dirinya. Jelas di dalam hadith di atas sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam: "Janganlah kamu meminta jawatan" dan sebabnya adalah kerana sekiranya seseorang itu menjadi pemimpin atau menjawat sebuah jawatan disebabkan permintaannya, dia tidak akan dibantu oleh Allah ta'ala dalam menyelesaikan permasalahan permasalahannya, baik yang berkaitan dengan orang orang di bawahnya ataupun yang berkaitan dengan kepemimpinannya. Tidak akan dibantu. Maka, hasilnya adalah kegagalan dan ketidakberhasilan. Sedangkan bagi yang menjadi pemimpin atau menjawat sebuah jawatan bukan atas permintaannya, akan tetapi dia sendiri yang dipilih dan diminta oleh 'orang orang yang berakal' untuk melakukan amanah yang berat itu, maka Allah ta'ala akan membantunya.

    Abu Dzarr radhiallahu 'anhu pada suatu hari berkata kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam : "Wahai Rasulullah, Tidakkah mahu engkau memberikan kepadaku jawatan? Maka Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam terus menepuk bahunya seraya bersabda:


      يا أبا ذر إنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدى الذي عليه فيه

    Maknanya: Wahai Abu Dzarr, Sesungguhnya kamu ini lemah sedangkan jawatan itu adalah sebuah amanah. Dan sesungguhnya ia pada hari kiamat kelak akan menjadi sebuah penghinaan dan penyesalan kecuali bagi mereka yang mengambilnya dengan haknya serta menunaikan hak jawatan yang telah menjadi kewajipannya.

    Boleh nampak?


    Pada suatu hari yang lain, datang dua orang lelaki kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam kemudian mereka pun meminta kepada Baginda untuk memberikan jawatan kepada mereka di suatu tempat. Maka apa kata Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam?

     إنا والله لا نوالى هذا الأمر أحدا سأله أو أحدا حرص عليه

    Maknanya: Sesungguhnya kami, Demi Allah ! tidak memberikan perkara ini kepada sesiapa yang memintanya atau kepada sesiapa yang bersungguh sungguh untuk mendapatkannya.

    Lalu bagaimana dengan Nabi Yusuf 'alaihissalam ketika beliau meminta kepada raja pada waktu itu untuk menjadikan beliau sebagai pengurus perbendaharaan negeri Mesir sebagaimana yang disebutkan di dalam surah Yusuf ayat 55. Allah ta'ala berfirman: 


    قال اجعلني على خزائن الأرض

    Maknanya: (Yusuf) berkata: "Jadikanlah aku sebagai yang mengurus perbendaharaan bumi (mesir) ini".

    Di sana ada beberapa jawapan:


    1. Kaedah Ilmu Ushulul Fiqh mengatakan: "Syariat sebelum kita merupakan syariat kita juga selama tidak ada di dalam syariat kita sesuatu yang menasakhkan (memadamkan) syariat yang sebelum kita itu". Jadi di dalam kes ini, dapat kita simpulkan yang meminta jawatan adalah suatu yang boleh pada zaman Nabi Yusuf. Ia pada asalnya juga merupakan syariat bagi kita. Akan tetapi, ternyata ada di dalam syariat kita yang menasakhkan hukum boleh tersebut iaitu dua hadith yang tersebut di atas. 
    2. Nabi Yusuf 'alaihissalam pada waktu itu melihat yang hasil bumi negeri mesir telah dipermainkan dan tidak diperhatikan dengan betul oleh golongan yang bertanggungjawab ke atasnya. Jadi di dalam kes ini, Nabi Yusuf mempunyai niat dan maksud yang baik iaitu ingin menghentikan pentadbiran yang tidak baik dan perbuatan yang akan merosakkan negeri Mesir kelak. Maka ianya tidak mengapa. Apatah lagi beliau tahu yang beliau adalah seorang Nabi yang mana setiap perbuatan ataupun perkataannya pastilah diperhatikan oleh Allah ta'ala. Maksudnya, sekiranya ada yang tidak kena, pasti akan terus ditegur oleh Allah.
    3. Beliau adalah seorang Nabi. Dan Nabi, pastilah setiap apa yang dia lakukan merupakan wahyu dari Allah ta'ala. Jadi di dalam kes ini, tidak menjadi masalah bagi Nabi Yusuf atas permintannya tersebut kerana wahyu yang memerintahkannya.
    Apa apapun, hadith hadith yang dibawakan di atas merupakan dalil dalil yang 'muhkam' yang harus dikembalikan kepadanya ketika terjadi kekeliruan. Tidak patut bagi seorang muslim untuk menolak dalil dalil yang 'muhkam' dan berpegang dengan dalil dalil yang 'mutasyabih' yang mana ianya sebenarnya tidak ada apa apa masalah di dalamnya bagi yang memahami.

    Allah ta'ala berfirman:



    هو الذي أنزل عليك الكتاب منه آيات محكمات هن أم الكتاب وأخر متشابهات فأما الذين في قلوبهم زيغ فيتبعون ما تشابه منه ابتغاء الفتنة وابتغاء تأويله وما يعلم تأويله إلا الله والراسخون في العلم يقولون آمنا به كل من عند ربنا وما يذكر إلا أولو الألباب

    Aali- Imran ayat 7.

    Akan datang pembahasan mengenai ayat ayat yang 'muhkam' dan ayat ayat yang 'mutasyabih' nanti insyaAllah.
    |