Rss Feed
  1. Masa dan Waktu

    Saturday, September 28, 2013

    Allah ta'ala berfirman di dalam kitab-Nya yang mulia:


    والعصر. إن الإنسان  لفي خسر. إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر

    Maknanya: Demi Masa. Sesungguhnya semua manusia berada di dalam kerugian. kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta yang sentiasa berpesan pesan dengan kebaikan dan yang sentiasa berpesan pesan dengan kesabaran.

    Allah ta'ala bersumpah dengan masa bahawasanya semua manusia berada di dalam kerugian dan kerugian itu juga berperingkat, ada yang mengalami kerugian itu secara mutlaq iaitu mereka yang rugi di dunia dan juga di akhirat, terlepas daripada syurga Allah serta berhak untuk mendapatkan azab-Nya. Dan ada juga yang rugi dari beberapa sisi sahaja. Apa-apapun, Allah subhanahu wata'ala di dalam surah Al-'Asr telah mengumumkan kerugian kepada semua yang berjenis manusia kecuali mereka mereka yang bersifat dengan empat perkara iaitu:
    1. Beriman dengan segala apa yang dikhabarkan oleh Allah dan yang diperintahkan oleh-Nya. Dan iman tidak dapat terpenuhi kecuali dengan ilmu kerana iman adalah cabang daripada ilmu. Dan tentunya ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu Al-Quran dan As-Sunnah.
    2. Beramal soleh. Dan ini mencangkupi segala perbuatan baik, baik yang zahir (nampak) mahupun yang bathin (tersembunyi). Baik yang berkaitan dengan Allah mahupun yang berkaitan dengan hamba-hamba-Nya. Baik yang wajib mahupun yang mustahab (sunat).
    3. Saling berpesan pesanan dengan kebenaran. Dan kebenaran yang dimaksudkan di sini adalah iman dan amalan soleh. Maksudnya, mereka saling berpesan sesama mereka dengan Ilmu, Iman dan amalan soleh. Harus ada ilmu dan iman dahulu sebelum melakukan amal.
    4. Saling berpesan pesanan dengan kesabaran. Iaitu bersabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah ta'ala, bersabar dalam meninggalkan maksiat kerana Allah ta'ala serta bersabar atas ketentuan ketentuan yang telah Allah tetapkan.
    Dapat kita lihat di sini, dengan terpenuhinya dua perkara pertama, seorang insan itu telah melengkapkan kebaikan buat dirinya sendiri. Dan dengan terpenuhinya dua perkara kedua, dia telah melengkapkan kebaikan buat orang lain. Dan dengan lengkapnya empat perkara ini, jadilah seorang insan itu telah membebaskan dirinya daripada belenggu kerugian serta berhasil untuk mendapatkan keuntungan yang besar.

    Kalau kita perhatikan lawan bagi empat perkara di atas, akan jelaslah bagi kita insyaAllah maksud  sumpah Allah bahawasanya semua manusia berada di dalam kerugian dan kebinasaan;
    1. Lawan bagi iman adalah kufur.
    2. Lawan bagi amalan soleh adalah amalan yang jahat.
    3. Lawan bagi berpesan-pesanan dengan kebenaran adalah samada tidak berpesan pesan sama sekali ataupun berpesan pesan dengan kejahatan dan pendustaan.
    4. Lawan bagi berpesan-pesanan dengan kesabaran adalah samada tidak berpesan pesan sama sekali ataupun berpesan pesan dengan sifat gelojoh serta tamak haloba.
    Semuanya adalah sifat sifat yang merugikan. Tidakkah begitu?

    Oleh kerana itu, Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda di dalam sebuah hadith sahih:


    اغتنم خمسا قبل خمس شبابك قبل هرمك وصحتك قبل سقمك وغناك قبل فقرك وفراغك قبل شغلك وحياتك قبل موتك

    Maknanya: Manfaatkan yang lima sebelum datang yang lima; waktu mudamu sebelum waktu tuamu, waktu sihatmu sebelum waktu sakitmu, waktu kayamu sebelum waktu miskinmu, waktu kosongmu sebelum waktu sibukmu dan waktu hidupmu sebelum waktu matimu.

    Wallahu a'lam.
    |


  2. 2 comments:

    Post a Comment