Rss Feed
  1. Pentingnya Ilmu Agama

    Wednesday, September 25, 2013

    Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Mu'awiyah bin Abi Sufyan radhiallahu 'anhu:


    من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين

    Maknanya: Barangsiapa yang Allah menginginkan kebaikan baginya, maka Allah akan menjadikan dia faham di dalam ilmu agama(nya).

    Di dalam hadith ini, dapat kita fahami akan amat pentingnya bagi seorang muslim untuk mempelajari ilmu agamanya. Kerana hanya dengan itu, dia dapat mengetahui bagaimana cara untuk beribadah kepada Allah ta'ala yang mana ia merupakan tujuan dan matlamat kita diciptakan di dunia ini. Allah ta'ala berfirman:

    وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون

    Maknanya: Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.

    Sedangkan beribadah kepada Allah ta'ala tidak dapat tercapai dan tidak dapat direalisasikan kecuali setelah kita mengetahui akan apa yang diperintahkan dan yang dilarangkan oleh Allah kepada kita. Dan ilmu pengetahuan tidak akan dapat tercapai kecuali setelah kita berusaha untuk mempelajarinya. Itu semua agar kita tidak menghalalkan apa yang Allah haramkan dan tidak juga mengharamkan apa yang Allah halalkan. Berapa banyak manusia pada zaman sekarang yang hanya tahu beramal tanpa ada dasar ilmu. Hasilnya, dia termasuk di dalam hadith yang disabdakan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:

    من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد

    Maknanya: Barangsiapa yang melakukan sebuah amalan yang tidak ada perintah daripada kami maka amalannya tersebut tertolak.

    Secara tidak langsung, dia telah memudharatkan dirinya sendiri dengan sebuah amalan yang pada zahirnya kelihatan baik, akan tetapi sebenarnya ianya lebih buruk daripada kemaksiatan seperti mencuri, minum arak ataupun berzina. Contohnya: Seorang yang solat zuhur 5 rakaat dengan niat untuk mendapat pahala lebih daripada mereka yang solat zuhur hanya 4 rakaat. Secara zahirnya ianya amat baik. Iyalah, bukankah semakin banyak ibadahnya seseorang itu, semakin banyak juga pahala yang semestinya dia akan perolehi? Jadi, seorang yang solat zuhur sebanyak 5 rakaat, kalau dilihat dengan mata kasar sahaja, tentulah dia lebih baik daripada orang yang solat zuhur hanya 4 rakaat. Akan tetapi, kalau dilihat dengan mata hati, kita akan nampak bahawasanya orang yang berkeyakinan bahawasanya solat zuhur 5 rakaat lebih banyak pahalanya daripada orang yang solat zuhur hanya 4 rakaat sebenarnya adalah lebih buruk keadaanya daripada seorang muslim yang minum arak dalam keadaan dia tahu apa yang dia lakukan itu salah dan dia perlu bertaubat kepada Allah suatu hari nanti.

    Bagaimana itu terjadi?

    Jawapannya, orang yang solat zuhur 5 rakaat tadi, dia telah menganggap bahawa apa yang dia lakukan itu adalah lebih baik daripada apa yang telah dicontohkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan apa yang telah disyariatkan oleh Allah subhanahu wata'ala. Ini secara tidak langsung telah mencacatkan syahadahnya yang kedua iaitu (( وأشهد أن محمدا رسول الله )) yang maksudnya "Aku bersaksi bahawasanya Muhammad itu adalah utusan Allah" kerana di antara konsekuensi daripada persaksian ini adalah kita tidak boleh sama sekali mengedepankan akal kita mahupun hawa nafsu kita ke atas apa yang telah disyariatkan oleh Allah ta'ala. Kita juga tidak boleh melakukan suatu ibadah kecuali apabila di sana ada izin daripada Allah mahupun Rasul-Nya.
    Kaedah asas ilmu Ushulul Fiqh mengatakan

    " Hukum asal bagi sebuah ibadah itu adalah haram dilakukan kecuali apabila terdapat dalil yang membenarkan kita untuk melakukannya. Sedang hukum asal bagi sebuah mu'amalah (seperti jual beli, pinjam meminjam dll) adalah boleh dilakukan kecuali apabila ada dalil yang mengharamkannya "


    Dan ini berlandaskan firman Allah ta'ala di dalam surah Asy Syuraa:



     أم لهم شركآؤ شرعوا لهم من الدين ما لم يأذن به الله ولولا كلمة الفصل لقضي بينهم وإن الظالمين لهم عذاب أليم

    Maknanya: Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan  sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah di dalam agama? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah telah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

    Ini menunjukkan bahawasanya agama ini juga ada undang-undangnya. Tidak boleh kita lakukan sebarang perkara atas nama agama ini hanya kerana perkara tersebut nampak baik. Perlu ada dalil. Perlu ada izin daripada Allah ataupun Rasul.

    Berbeza dengan lelaki yang meminum arak, berzina ataupun mencuri tadi. Orang orang seperti ini kebanyakannya, mereka melakukan dosa dosa yang sedemikian atas desakan hawa nafsu yang tidak dapat ditahan mahupun dibendung. Bukan kerana mereka menghalalkan perkara perkara jahat tersebut. Mereka tahu apa yang mereka lakukan itu adalah salah dari segi undang undang islam, akan tetapi disebabkan gejolak hawa nafsu, mereka pun melakukannya. Orang orang yang seperti ini, lambat laun biasanya mereka akan bertaubat dan kembali kepada Allah ta'ala. Pintu taubat sentiasa terbuka di hadapannya. Adapun orang yang pertama tadi dan yang semisalnya, mereka susah untuk bertaubat kepada Allah kerana mereka yakin apa yang mereka lakukan itu adalah benar. Dan mereka tidak rasa bersalah sebagaimana orang orang yang melakukan maksiat merasa bersalah.

    Inilah maksud hadith Nabi sallallahu 'alaihi wasallam:



    إن الله لا يقبل توبة صاحب بدعة حتى يدع بدعته

    Maknanya: Sesungguhnya Allah tidak menerima taubat seorang pelaku bid'ah sampai dia meninggalkan bid'ahnya.

    Adakah maksudnya Allah tidak akan menerima taubat seorang yang melakukan bid'ah sekiranya dia bertaubat kepada Allah? Tidak sama sekali kerana Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Menerima taubat hamba hamba-Nya. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan hadith ini adalah bahawasanya Allah ta'ala tidak akan memberikan taufiq kepada seorang pelaku bid'ah untuk dia bertaubat sampai dia meninggalkan bid'ahnya tersebut. Kenapa begitu? Sebagaimana yang dijelaskan tadi, pelaku bid'ah adalah amat sulit bagi mereka untuk bertaubat dan mengatakan apa yang mereka lakukan itu salah kerana keyakinan mereka. Mereka berkeyakinan bahawa amalan bid'ah yang mereka lakukan itu tidak ada apa apa masalah di dalamnya, bahkan ianya adalah sebuah perkara yang berpahala lagi. Amat bahaya kerana mereka telah beribadah kepada Allah dengan melakukan sesuatu yang tidak diizinkan oleh Allah ataupun Rasul-Nya. Ini kembali kepada masalah mencacatkan persaksian kita bahawasanya Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah.

    Wallahu a'lam.
    |


  2. 0 comments:

    Post a Comment