Rss Feed
  1. Mahu Jadi Pendakwah? Bah. 1

    Wednesday, October 16, 2013

    Allah ta'ala berfirman di dalam Kitab-Nya:


    ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

    Maknanya: Serulah kamu (wahai Muhammad akan manusia) kepada jalan Rabb-Mu dengan berhikmah serta (dengan memberikan) peringatan yang baik. Dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik. Kerana sesungguhnya Rabb-mu, dialah yang maha mengetahui akan orang orang yang terpesong daripada jalan-Nya sedang Dia Maha Mengetahui akan orang-orang yang mendapatkan hidayah.

    Di dalam ayat ini, Allah ta'ala menyatakan kepada kita akan beberapa adab untuk seseorang itu menjadi pendakwah.

    Pertama sekali, hendaklah dia berdakwah kepada jalan yang lurus yang telah Allah tetapkan, yang mana jalan yang lurus tersebut mencangkupi ilmu yang bermanfaat dan juga amalan yang soleh. Bukan berdakwah kepada dirinya, bukan juga kepada jama'ahnya dan bukan juga kepada pemikiran ataupun mazhabnya. Akan tetapi hendaklah dia berdakwah kepada Allah dan kerana Allah. 

    Kedua, setelah kita luruskan niat, hendaklah dakwah kita diasaskan dengan apa yang dimulakan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam serta para Nabi dan Rasul sebelumnya 'alaihimussalam iaitu dengan Tauhid. Tauhid adalah mengesakan Allah ta'ala di dalam aspek ketuhanan serta pengibadahan. Aspek ketuhanan adalah dengan kita meyakini bahawa Allah sajalah yang menciptakan segala sesuatu, memberikan rezeki kepada segala sesuatu serta mengatur segala sesuatu. Allah sahajalah yang melakukan itu semua, tidak ada sekutu baginya. Di samping kita mengesakan Allah ta'ala di dalam nama nama dan sifat sifat-Nya subhanahu wata'ala. Itu dari aspek ketuhanan.

    Adapun aspek pengibadahan, maka dengan kita mengesakan Allah di dalam melakukan ibadah baik ibadah yang berkaitan dengan hati seperti tawakkul, cinta, takut, berharap dan yang sejenisnya ataupun ibadah yang berkaitan dengan lisan seperti zikir, do'a, dan berdakwah ataupun yang berkaitan dengan amal perbuatan seperti solat, puasa dan membayar zakat.

    Jadi, tauhid meliputi dan mencangkupi semua ini. Sangat simple bukan?

    Dalilnya, Allah ta'ala berfirman:

    وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

    Maknanya: Dan sungguh telah Kami utuskan kepada setiap ummat itu seorang rasul (untuk mereka serukan) dengan "sembahlah kamu semua akan Allah dan jauhilah thagut"

    Menandakan yang semua Rasul yang diutuskan oleh Allah di atas muka bumi ini, semuanya diperintahkan untuk menyerukan kepada kaumnya pertama sekali dengan tauhid. "Sembahlah Allah dan janganlah menyekutukannya"

    Allah ta'ala berfirman: 

    وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ

    Maknanya: Dan tidaklah Kami utuskan seorang rasul pun sebelum kamu (wahai Muhammad) kecuali kami wahyukan kepadanya dengan "sesungguhnya tidak ada sesembahan yang berhak disembah melainkan Aku, maka sembahlah Aku

    Sedangkan rasul rasul itu, tidaklah mereka diutuskan kecuali untuk menyampaikan apa yang disampaikan oleh Allah kepada mereka.

    Ketiga, hendaklah dakwah kita dilakukan dengan cara yang berhikmah. Apa itu hikmah? Hikmah adalah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya. Jadi, bagi seorang pendakwah, sikap dan sifatnya sangat penting untuk merealisasikan hikmah tersebut. Tergantung kondisi serta situasi orang orang yang hendak didakwahkan. Sikap tegas dan lembut hendaklah disusun berdasarkan keadaan. Tidak boleh keras sentiasa dan tidak boleh juga lembut sentiasa.

    Contoh daripada Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam: 

    Pada suatu ketika, datang seorang arab badwi ke masjid Nabi sallallahu 'alaihi wasallam kemudian kencing di salah satu penjuru masjid tersebut. Para sahabat yang melihat situasi itu merasa terkejut sehingga ada sebahagian daripada mereka ingin bangun dan menghambat si arab badwi. Akan tetapi Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menghalang mereka daripada melakukan itu. Setelah si arab badwi tadi selesai menunaikan hajatnya, Rasulullah meminta para sahabatnya untuk mendatangkan sebaldi air untuk menjirus kencing tadi lalu memanggil badwi tersebut. Baginda lalu menasihatinya baik baik dengan mengatakan yang masjid ini dibina bukan untuk tujuan itu akan tetapi ia dibina untuk berzikir kepada Allah ta'ala.

    Pada suatu ketika yang lain, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam melihat salah seorang sahabatnya memakai cincin yang dibuat daripada emas. Maka Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam lantas mencabutnya kemudian melemparkannya ke tanah lalu bersabda: "Adakah salah seorang daripada kamu ada yang berani untuk mengambil bara api lalu diletakkan di tangannya??! Setelah itu Baginda pun pergi. Lalu dikatakan kepada sahabat tadi: "Ambillah cincin kamu itu dan ambillah manfa'at daripadanya (dengan menjual atau selainnya)". Maka dia pun mengatakan: "Tidak, Demi Allah aku tidak akan mengambilnya sedang Rasulullah yang melemparkannya"

    Boleh nampak perbezaan yang ketara di antara dua keadaan? Keadaan yang pertama, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sangat lembut sekali ketika menegur si badwi yang menunaikan hajatnya di dalam masjid. Saya ulang, di dalam MASJID.

    Akan tetapi pada situasi kedua, Rasulullah terus mengambil cincin tersebut lantas melemparkannya ke tanah. 

    Kenapa dua keadaan ini terjadi?

    Kerana perbezaan kondisi serta situasi orang yang mahu didakwahkan. Di dalam contoh yang diberikan, orang yang mahu didakwahkan adalah seorang badwi pada contoh pertama dan seorang sahabat pada contoh kedua.

    Arab badwi, sebagaimana yang sedia dimaklumi, sebahagian besar di antara mereka mempunyai sikap kasar dan keras kepala. Oleh kerana itu, wajarlah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersikap lembut terhadapnya agar tidak terjadi mafsadah (kerosakan) yang lebih besar. Cuba bayangkan sekiranya para sahabat yang melihat kondisi itu tadi pergi menyerbu si badwi. Apa yang akan terjadi? Tentulah si badwi itu akan lari dari tempat dia menunaikan hajatnya yang akhirnya akan menyebabkan kerosakan yang lebih besar berlaku di dalam masjid iaitu bertebarnya najis badwi itu di merata tempat di dalam masjid yang mana akan menyulitkan proses pembersihan dan penyucian.

    Sedangkan sahabat yang memakai cincin itu tadi, beliau sebagaimana yang diterangkan oleh sebahagian 'ulama, telah pun tahu akan hukum seorang lelaki memakai cincin emas akan tetapi beliau menganggap remeh perkara tersebut, radhiallahu 'anhu. Kalau kita perhatikan hadith ini sehingga selesai, kita akan dapat menilai betapa kuatnya iman para sahabat radhiallahu 'anhum. Terbukti apabila Nabi sallallahu 'alaihi wasallam mencabut cincin emas daripada jarinya lalu melemparkannya, sahabat tersebut tidak mengambil cincin tersebut untuk dimanfaatkan sebagaimana saranan beberapa orang temannya. Ini menunjukkan akan kekuatan iman yang ada dalam diri sahabat tersebut. Kerana kalau imannya lemah, tentulah dia tidak akan membiarkan cincin tersebut begitu sahaja. Mungkin dia akan mengambilnya lalu menjualnya atau memberikan kepada isterinya atau kerabat perempuannya yang lain.

    1. Ikhlas dalam berdakwah
    2. Mempunyai ilmu tentang apa yang hendak didakwahkan berdasarkan Al-Quran, As-Sunnah di atas pemahaman Salaf.
    3. Berhikmah dalam mendakwahkan ilmu kepada manusia dengan meletakkan sikap keras dan lembut pada tempatnya.
    Tiga poin penting untuk diperhatikan oleh seorang pendakwah di dalam memulakan dakwahnya.
    Bersambung...
    |


  2. 0 comments:

    Post a Comment